Penyayang
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan
kehadrat Allah swt. Blog yang telah lama saya tidak
update akhirnya diminta isi dengan suatu hikmah
yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi
ke alam sana. Hasil penulisan ini sesungguhnya
ditulis oleh ibunya yang tercinta, ibu kepada arwah
Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita
memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian
ini. Selamat membaca.
__________________________
__________________________
_____________________
6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar
kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar
Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita
kemalangan itu.
7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai
HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor
mencadangkan pembedahan segera dilakukan.
Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami
tidak mencukupi’
8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar
berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul
1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.
9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot
sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula
turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah
segera diberikan. Muka dan badan mula sembab
sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan.
Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya
melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di
betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah
tercedera dan kita menunggu dan berharap
kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua
sahabat di dalam dan di luar negara.
10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan
ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual.
Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya.
Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang
berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak
dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa
tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung
tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya,
usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan
nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia
dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak
boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita
berpindah kepadanya.
Ramai yang bersimpati dengannya lalu
mencadangkan pelbagai bentuk rawatan
pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada
sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar
dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang
menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan
menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja.
Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa
rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan
hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh
seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak
mensyirikkan Allah.
11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan
dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an.
Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul
dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera
nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat
dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan
Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2
lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah
malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri
menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan
kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .
Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan
semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh.
Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan
pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat
dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru
menyebabkan pernafasannya tidak stabil.
12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke
telefon untuk memberi semangat kepada Hajar.
Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan
pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak
masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2
yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua
tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami
nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua
ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2
amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah
untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan
pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU
Mawar dan diletakkan di wad D3.
13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi
oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan
kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan
sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan
apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu
berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia
hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu
kecil kemampuan manusia berbanding dengan
kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti
diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang
sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG
MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita
dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk
mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak
disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki
segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak
punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau
dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa,
maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu
mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya
sekalipun.
Takada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh
sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya,
saraf tunjangnya yang cedera dan juga
pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik
airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib,
tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup,
katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga
akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk
digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan
bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya,
dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.
Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci
kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara
seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua
atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan
kot” tingkah saya. Dia jawab “mana pulak, azan
mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut
SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok
jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur.
Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?”
“Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…”
jawabnya naif’
14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang
maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat.
Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema,
kahak tersumbat di saluran kerongkong dan
belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila
pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari
nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit
meminta bantuan kecemasan diberikan dengan
menyedut kahak menggunakan mesin penyedut.
Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan
saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan
tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu,
selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam
menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami
disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu.
Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua
berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci
dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia
bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi.
Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur
terselamat dr situasi bahaya. Stabil.
Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa
doktor membantunya dan kami memohon bantuan
Allah, pertolongan tersebut telah datang.
Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali.
Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa
hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia
boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa
mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk
dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan
terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa
dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.
Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang
menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu
Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah
tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi,
“Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada
jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis.
Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada
bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam
tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse
datang, kadang2 waktu sahabat ziarah” Hati kami
mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami
berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu.
Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai.
Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak
rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang
malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan
mensyukuri apa saja nikmat yang sedang
dinikmatinya.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin
naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat
dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan
untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam
berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya
akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam
dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan
kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…
tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk
tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal
gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade
bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah
perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan
dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang
sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)
Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin
sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi
ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan
larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan
sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je,
Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di
sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera
saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu
dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah,
mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya
tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu
memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa
macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit
dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana
ni….nak percaya tak?
Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar,
dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit
untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah,
saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air
zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak
berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal
semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak
solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu.
Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari
rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa
yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan.
Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.
Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel
darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan
pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak.
Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu
besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit
tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa
urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak
doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya,
tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi
Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula
mengambilalih.
16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit
perut. Macam kembung. Perut mula membengkak
dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin
dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya
memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2
muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air
zam zam kerana muntah tersebut memahitkan
tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan
lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari
itu, memang takada pelawat yang datang.
Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat.
Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan,
“nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak
solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah
boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia
untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput
adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati
nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg
terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata,
“Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak.
Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang
rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak
muntah dan dia datang bantu.
Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan
suami saya hanya menadahkan kain menahan
muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian
muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula
berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut
akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin
rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk
basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga,
akak mohonlah rezeki dari Allah.
Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan
usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan
untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak
menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang,
akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid
dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar
nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan
makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka
akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki
mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak
zikirlah ye”. Angguk.
Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi
masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia
kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab
untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak
hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu,
akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang
adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan
Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri
yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak
panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”
Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan
berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan
memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2
dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang
banyak. Dia turut beritahu minta digantikan
puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang
dia berada dihospital tu. Ada beberapa hutang
kecilnya minta dilunaskan.
Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu
tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.”
“Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak
tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa,
Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah
pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar
sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan
Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya.
Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak
mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita
yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar
membengkak teruk.
17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor
sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak
terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan
sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan
dengan saraf tunjang yang gagal menghantar
arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil.
Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan
yang terbaik untuknya.
Selepas waktu melawat tengahari, demam
memburuk semula. Perut yang membengkak
menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu
tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi
menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan
dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga
punca pembengkakan itu diketahui.
Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam
zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn
bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa.
Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk
basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut
pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan
dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab,
“beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…
kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya..
Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia
angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak
putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk
menolong beliau melalui kesukaran itu.
Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta
dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan
terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa,
dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri
membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih
kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya
tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah.
Saya terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak
dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila
dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun
dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak
lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur.
Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah.
Angguk.Dalam termengah2 dia berkata”mak, izinkan
akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya,
mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang
tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan
saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu
bola matanya bergerak ke atas. Segera saya
talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula
berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh
keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan
menaikkan tekanan darah.
Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah
nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU
semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran
tolak katil Hajar ke ICU okid.
Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan
dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan
mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali
terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu
dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.
18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar
perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah
bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat
jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor
segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat,
……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin
biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di
dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang
belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib
tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali,
namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara
mesin pernafasan yg bekerja lagi 99% .Hakikatnya
carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam
gimik.
19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor
dan perlukan tembukan kecil diperut untuk
mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar,
pembedahan yang lebih besar diperlukan utk
memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan
semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang
kebenaran pembedahan untuk ditandatangani.
Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa
Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk
bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu
berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan
melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami
dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan
tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah
kami bermohon pertolongan dan petunjuk.
Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu,
seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar
yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak
berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah
rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan
boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana
toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni
organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami?
Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun
begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan
selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil.
Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh
berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu
cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh
berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi
apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang,
kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci
darah dijalankan kerana risikonya besar.
Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan
yang usus Hajar memang benar2 bocor dan
pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah
Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya
TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh
selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya.
TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG
LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa
bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang
pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak
membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung
terhenti lagi.
Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu
keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya
nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan
kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau
boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan
dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh,
menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami
tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak
mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan,
mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan.
Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana
toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.
Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan
pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had
masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk
pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga
telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh
sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2
ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir
20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing
masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah
memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul
maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi
sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang
dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang,
TUHANMU yang lebih menyayangimu telah
menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah
meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun
kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih
kerana menganugerahkan akhlak yang mulia
terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia
kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan
limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha
Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.
Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung
keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat,
pensyarah, pegawai university dan saudara mara
hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan,
menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau.
Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih
kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca
mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,
( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai
hati insan2 yang jujur menyayanginya
Allahummaghfirlaha Warhamha Wa’afihi Wa’fu

No comments:
Post a Comment